Susunan Idris Musa
<mailto:idris@hmetro.com.my> idris@hmetro.com.my
PUASA enam hari pada bulan Syawal adalah kesinambungan kepada ibadat puasa
sebulan yang diwajibkan pada Ramadan.
Walaupun tidak berdosa sekiranya tidak dilakukan, tetapi hakikatnya puasa sunat
enam hari pada bulan Syawal adalah ibadat yang penuh bermakna, malah ia amalan
generasi soleh yang terdahulu.
Nabi s.a.w ada menjelaskan ganjaran kepada mereka yang berpuasa enam hari pada
Syawal melalui beberapa hadisnya, antaranya hadis diriwayatkan Muslim yang
bermaksud: “Sesiapa berpuasa pada Ramadan, kemudian diiringi dengan
(puasa) enam hari Syawal, maka dia seperti berpuasa satu tahun penuh.”
Menerusi hadis lain yang dikeluarkan At-Tabrani dengan sanadnya daripada Ibnu
Umar r.a, Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa pada
Ramadan dan diiringi dengan puasa enam hari pada Syawal, nescaya hilang segala
dosanya seperti bayi yang baru dilahirkan oleh ibunya.”
Penegasan baginda itu menunjukkan puasa enam hari bulan Syawal amat digalakkan
walaupun ia tidak sampai tahap wajib, kerana ganjarannya sangat besar.
Nabi s.a.w sendiri menggalakkan umatnya rajin beribadat, dengan ibadat fardu
disusuli dengan amalan sunat. Baginda ada menerangkan Allah S.W.T amat suka
kepada hamba-Nya yang rajin beribadat, seperti pada hadis
berikut:
Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:
“Sesungguhnya Allah berfirman yang maksudnya: “Sesiapa yang memusuhi
wali-Ku, maka sesungguhnya aku mengisytiharkan perang terhadapnya. Dan tiada
seorang hamba-Ku yang bertaqarrub (beramal) kepada-Ku dengan sesuatu yang lebih
Aku cintai hanya dari ia menunaikan semua yang Aku fardukan ke atas dirinya. Dan
hendaklah hamba-Ku sentiasa bertaqarrub dirinya kepada-Ku dengan nawafil (ibadat
sunat) sehingga Aku mencintainya. Maka apabila Aku telah mencintainya, nescaya
adalah Aku sebagai pendengarannya yang ia mendengar dengannya, dan sebagai
penglihatannya yang ia melihat dengannya, dan sebagai tangannya yang ia
bertindak dengannya, dan sebagai kakinya yang ia berjalan dengannya. Dan jika ia
meminta kepada-Ku nescaya Aku berikan kepadanya, dan jika ia memohon
perlindungan kepada-Ku nescaya Aku lindungi.” (Hadis riwayat
Al-Bukhari)
Jika berpuasa pada Ramadan terpaksa menahan lapar dan dahaga, berpuasa enam
hari pada Syawal tidak kurang juga menuntut ketabahan, malah apabila
diperhatikan bahangnya lebih terasa kerana ketika berpuasa orang lain
‘berbuka.’
Tetapi sedar atau tidak, ibadat sunat enam hari itu juga adalah penanda aras
keimanan dan ketakwaan seseorang terhadap Allah; sanggup berlapar dan dahaga
ketika musim orang menikmati aneka juadah, semata-mata kerana menyahut anjuran
agama.
Menurut ulama, puasa sunat enam hari pada Syawal sebaik-baiknya (lebih
afdal) dilakukan berturut-turut, dimulai pada hari kedua Syawal dan diikuti
lima hari lagi berturut-turut.
Tetapi jika tidak dapat, boleh dilakukan pada mana-mana hari asalkan masih di
dalam Syawal dan boleh dengan tidak berturut-turut asalkan cukup enam hari.
Sesetengah ulama pula berpendapat puasa enam itu boleh dilakukan secara
berselang-seli atau tidak terus menerus sepanjang Syawal.
Ulama juga berbeza pendapat antara puasa sunat enam hari pada bulan Syawal
dengan puasa ganti (qada) Ramadan.
Pendapat pertama mengatakan tidak dibolehkan niat puasa ganti bersama puasa
sunat Syawal. Ini kerana berdasarkan hadis setiap amalan berdasarkan niat.
Sebagai contoh, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dalam menggariskan adakah
puasa enam boleh diniat sekali dengan puasa ganti: ‘Niat puasa enam tidak
boleh disekalikan dengan puasa
qada.
Imam As-Syafi’i (di dalam Kitab Al-Umm) berpendapat dalam mensyarahkan bab
’setiap amalan dengan niatnya’ bahawa: Hendaklah dibezakan ibadat puasa
Ramadan, puasa nazar, puasa kafarah, puasa qada dan puasa sunat.
Imam Jalaluddin As-Suyuti (di dalam Kitab Al-Isybah) juga berpendapat hendaklah
diasingkan puasa Ramadan atau nazar atau puasa sunat. Namun, seseorang yang
berniat puasa qada ketika Syawal boleh juga dikurniakan pahala puasa enam (tanpa
menjatuhkan niat itu) mengikut pendapat
sebahagian ulama.’
Pendapat kedua mengatakan dibolehkan niat bersama, malah memadai seseorang yang
ingin melakukan puasa qada dan puasa sunat enam hari dengan berniat hanya puasa
qada pada bulan Syawal.
Mereka akan mendapat dua ganjaran sekali gus dengan syarat dia perlu berniat
puasa qada terlebih dulu. Ini kerana puasa qada adalah wajib dan puasa enam
adalah sunat.
Hal yang sama berlaku ke atas solat tahiyatul masjid. Jika seseorang memasuki
masjid dan terus melakukan solat fardu, maka dia akan diberi ganjaran dua pahala
sekali gus.
Bekas ketua jawatankuasa fatwa al-Azhar, Sheikh ‘Atiyyah Saqr, berkata
seseorang yang tertinggal puasa pada Ramadan boleh berpuasa sunat enam hari
Syawal dengan niat bersama puasa ganti.
Menurutnya, orang yang berpuasa itu akan mendapat ganjaran berganda secara
serentak; menggantikan puasa yang ditinggal dan mendapat ganjaran puasa enam
hari Syawal.
“Bagaimanapun, dianjurkan seseorang itu menggantikan puasa tertinggal
secara berasingan dengan puasa enam hari Syawal (supaya mendapat ganjaran yang
lebih),” katanya.
Ada juga ulama berpendapat puasa enam seharusnya didahulukan kerana ia hanya
boleh diamalkan pada bulan Syawal saja. Bagi puasa qada, ia boleh dilakukan
dalam tempoh 10 bulan berikutnya sebelum tibanya Ramadan akan datang.
Sesetengah ulama berpendapat, orang yang mempunyai hutang puasa Ramadan
hendaklah ‘membayar’ terlebih dulu, kemudian baru dikerjakan sunat puasa
enam. Tidak mendapat sunat puasa enam jika ia juga diniatkan sebagai puasa qada.
Perbezaan pendapat itu sudah tentu memberikan pilihan dan ruang kepada umat
Islam dalam melaksanakan amal ibadat, sesuai dengan konsep taysir
(kelapangan) yang menjadi satu aspek penting dalam syariah, selagi mana tiada
larangan terhadapnya.
time kasih atas info yg berguna ini!!
sm2 bkongsi info…sm2 dpt manfaat